KUALA KANGSAR – Kempen tanpa calon  tidak menimbulkan sebarang  masalah kepada  masyarakat India di kawasan Parlimen Kuala Kangsar pada pilihanraya kecil (PRK) Parlimen berkenaan 18 Jun ini.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, masyarakat India akan tetap memberikan sokongan jitu bagi memastikan calon BN, Datin Mastura Yazid memenangi dan mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Menurut beliau, pengundi-pengundi India di kawasan Parlimen itu sebenarnya amat mengenali Mastura dan ini akan memudahkan lagi gerak kerja jentera MIC untuk berkempen membantu kemenangan calon BN itu.

“Daripada maklumat yang diberikan oleh Ketua Bahagian MIC Kuala Kangsar, Datin Mastura amat dikenali oleh masyarakat India kerana banyak menabur jasa dan dalam membantu arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar ketika menjalankan program-program kemasyarakatan yang membabitkan masyarakat India di Kuala Kangsar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Gerakan MIC kawasan Parlimen Kuala Kangsar pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango dan Ketua Bahagian MIC Kuala Kangsar, Datuk M. Phobalan.

Menurut Subramaniam, jentera pilihan raya MIC kini sedang bekerja kuat untuk mengenalpasti kesemua 2,299 pengundi India dan setakat ini sudah berjaya mengenalpasti lebih kurang 1,455 orang.

Katanya, usaha mengenalpasti pengundi-pengundi itu sedang giat dijalankan dan diharapkan proses itu akan tamat sebelum hari penamaan calon pada 5 Jun ini.

Menurut beliau, MIC berharap akan dapat membawa keluar 70 peratus daripada 2,299 pengundi  pada hari pembuangan undi nanti.

Mastura mempunyai lima kriteria sebagai calon ysng bakal bertanding menentang seorang calon profesional dari PAS,  Dr. Najihatusdalehah Ahmad.

Di antara kriteria yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah mengenali sepenuhnya keadaan kawasan Parlimen Kuala Kangsar selain turut bergelumang dengan masayarat akar umbi di kawasan berkenaan.