IPOH: Semua kerja-kerja pembinaan baharu, pengubahsuaian dan penyelenggaraan infrastruktur bagi kegunaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dijangka siap sepenuhnya pada April 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah memberi tempoh masa itu kepada kontraktor-kontraktor terlibat.

Menurut beliau, keseluruhan kerja-kerja itu melibatkan kos RM152 juta.

“Projek-projek ini ada yang melibatkan pembinaan baharu dan ada yang pengubahsuaian semula sebab sesetengah infrastrukturnya ada tetapi saiznya tidak mengikut spesifikasi olimpik.

“Kerja-kerja juga bukanlah bermaksudnya baru kita nak mula hari ini, kita telah mulakan lama sebenarnya…kita tak mahu jadi seperti siri-siri Sukma sebelum ini di mana ada yang infrastrukturnya tidak boleh digunakan sebab tidak siap lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini, Dr Zambry diumumkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA Perak 2018 dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebagai timbalannya.

Beliau menambah, Abdul Puhat pula dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana manakala Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya sebagai timbalan.

Menurut Saarani, temasya sukan itu nanti tidak hanya akan tertumpu di Ipoh semata-mata, sebaliknya semua daerah di negeri ini akan dilibatkan bagi memeriahkannya.

“Memang SUKMA akan berpusat di Ipoh tetapi kita sedang merancang kalau boleh setiap daerah akan ada satu venue atau acara yang dipertandingkan.

“Ini untuk kita pastikan semua rakyat di Perak dapat merasai kemeriahan temasya sukan ini,” jelas beliau.