TELUK INTAN – Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan cadangan dan permohonan bagi membina sebuah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di daerah ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat menghantar anak mereka ke sekolah aliran agama.

Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi membina Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dan berharap menerima maklum balas positif.

“Dalam konteks fardu Kifayah saya terpanggil dengan rasa tanggungjawab untuk membina sebuah sekolah menengah tahfiz moden bagi menyeimbangkan aliran agama dengan aliran semasa di Teluk Intan.

“Dengan adanya sekolah ini ibu bapa tidak perlu risau untuk menghantar anak mereka luar dari Teluk Intan memandangkan sekolah menengah tahfiz yang lain berada luar dari kawasan ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada guru besar sekolah dalam Dun Changkat Jong, semalam.

Mohd Azhar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai di Teluk Intan tetapi belum boleh diumumkan lagi kerana masih dalam perbincangan.

“Saya sudah kenal pasti beberapa tanah tetapi perlu berbincang dengan Pegawai Daerah Hilir Perak, Shahrunaim Radzali bagi memastikan lokasi berkenaan benar-benar sesuai mendirikan sekolah menengah tahfiz,” katanya.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Teluk Intan (YPendita) ini turut memaklumkan, pihaknya akan menggunakan konsep lebih sistematik serta sealiran dengan kerajaan dalam memudahkan pengurusan sekolah menengah tahfiz tersebut.

“Hasrat saya adalah dalam konteks pengurusan kita akan menggunakan yayasan (YPendita) selain menyediakan tenaga pengajar profesional bagi mengurus serta mengajar di sekolah tahfiz berkenaan.

“Kita juga akan membentuk jawatankuasa yang terdiri daripada profesional bagi berkongsi pandangan dan pendapat bagi memajukan lagi sekolah menengah tahfiz ini apabila dibina kelak,” katanya.

-Sinar Harian