Felcra Bhd berkongsi beberapa klip video dan gambar di Twitter rasmi sebagai respons kepada klip video yang memaparkan ketua pegawai operasi (COO) menengking pekerja yang tular di media sosial.

Salah satu klip video yang dikongsi Felcra memaparkan seorang kakitangan wanita yang dipercayai merupakan individu yang ditinggikan suara oleh COO Felcra Khairi Makmur.

Wanita berkenaan berkata, “tengking” sudah menjadi perkara lumrah bagi pekerja industri perladangan.

“Sebenarnya, masa lawatan, dia jumpa buah muda lebih daripada buah yang masak. Itu menjadi salah satu isu dalam keadaan sekarang, apabila buah muda lebih banyak daripada yang masak, itu merupakan kerugian.

“Itu saja sebenarnya. Bagi orang ladang, cara pengajaran (seperti itu), itu lah yang sepatutnya, bagi orang luar yang tak faham akan cakap macam-macam, berdasarkan (kerana) mereka tak ada di situ, dan cara COO cakap tu.

“Bagi kami, seperti (termasuk saya) perempuan, tak ada masalah pun,” kata wanita itu dalam klip video berdurasi 81 saat – Malaysiakini