LELAKI parah akibat ditetak beberapa kali ketika sedang berjalan bersama isterinya untuk memasuki kenderaan yang diparkir di hadapan premis perniagaan di Taman Pertama, di Ipoh, kelmarin.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun, ditetak dengan parang kira-kira lima kali dan kejadian itu disaksikan isterinya yang berusia 31 tahun.

Serangan yang hanya berlaku tidak sampai 15 saat itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis di kawasan terbabit dan video rakaman kejadian tular di media sosial sejak semalam.

Difahamkan, mangsa yang menjalankan perniagaan kafe siber di kawasan berkenaan diserang ketika baru keluar daripada kedainya dan ingin memasuki kenderaan bersama isterinya sebelum diserang seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai serangan itu pada 4 petang hari kejadian daripada orang awam yang menghubungi dan memaklumkan terdapat seorang lelaki parah ditetak

“Hasil siasatan awal pegawai penyiasat yang melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mendapati mangsa dalam keadaan lemah dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Isteri mangsa menyatakan dia ada di tempat kejadian semasa suaminya di tetak dan cuba menyelamatkan mangsa dengan menarik mangsa daripada terus di tetak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, serangan itu berlaku dengan cepat dan isteri mangsa tidak mengenali supek kerana memakai topi keledar berpenutup muka, namun isterinya mengesyaki bahawa kejadian itu ada kaitan dengan perniagaan suaminya.

“Doktor yang menjalankan pembedahan memaklumkan belakang badan mangsa terdapat kecederaan luka sepanjang 7 sentimeter dan kedalaman 4 sentimeter sehingga nampak tulang rusuknya.

“Kaki mangsa juga cedera dan mangsa masih tidak sedarkan diri akibat ubat bius semasa pembedahan, manakala isterinya yang menghalang mangsa daripada terus ditetak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd Ali berkata, tempat kejadian dan CCTV sudah diperiksa yang mendapati seorang lelaki memakai topi keledar meluru ke arah mangsa dan isterinya yang pada ketika itu mahu masuk ke dalam kereta.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengenalpasti serta mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya – hmetro