IPOH – Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak menggesa pengusaha bas sekolah mendapatkan persetujuan ibu bapa terlebih dahulu sebelum mengenakan sebarang kenaikan tambang.

Pengerusinya, Datuk Rosli Yang Danian berkata, pihaknya tidak boleh mengenakan sekatan terhadap kenaikan tambang bas sekolah, namun mahu perbincangan dilakukan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan caj dikenakan nanti mampu dibayar ibu bapa, namun dalam masa sama berpatutan dengan kos ditanggung pengusaha.

“Kita boleh berkompromi untuk kenaikan ini, namun ia perlulah mengikut kajian terperinci termasuk berbincang dengan ibu bapa.

“Tambahan pula sekarang ini peralatan sekolah juga berlaku kenaikan (harga), sudah pasti itu juga membebankan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat KPIBK Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada sesi tahun depan.

Rosli berkata, sekiranya berlaku kenaikan seperti dikatakan, pihaknya berharap ia tidak melebihi 30 ke 40 peratus daripada kadar sekarang.

Katanya, pada ketika ini, tambang bas sekolah di Perak adalah pada kadar RM65 sebulan dan kenaikan kali terakhir berlaku adalah pada 2015 lalu.

“Kita faham kekangan pendapatan dan kos sara hidup yang kian meruncing, tetapi tidaklah menggalakkan kenaikan berlaku setiap tahun, biarlah secara terancang dalam tiga ke empat tahun sekali,” katanya.

Menyentuh mengenai aktiviti KPIBK, beliau berkata, Januari depan akan diadakan Konvensyen PIBG peringkat negeri yang antara lain membentangkan dua kertas kerja berhubung penglibatan ibu bapa dan kaedah penjanaan dana untuk PIBG.

“Kita juga merancang untuk mengadakan pertandingan pidato melibatkan sekolah menengah dan kebangsaan, kedua-dua program ini adalah yang pertama kali diadakan oleh KPIBK Perak,” katanya – sinar