IPOH – Kelab Kebajikan Masyarakat Madani Pengkalan Hulu mencadangkan kerajaan menangguhkan kenaikan tarif air seperti yang dilaporkan.

Pengerusinya, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, kerajaan seharusnya berhati-hati dalam mengenakan sebarang caj baharu kepada rakyat kerana ia akan memberikan kesan kepada mikro-ekonomi rakyat marhaen.

Menurutnya, tindakan menaikkan tarif air itu bakal memberikan impak kepada kos sara hidup rakyat dari segi mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.

“Pemansuhan GST dan pengenalan semula SST nampaknya tidak banyak menurunkan harga barang, kesan daripada kenaikan inflasi yang berlaku.

“Keadaan ekonomi keluarga terutamanya orang kampung tidak menentu menyebabkan kedudukan kewangan mereka menjadi semakin runcing,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Ahmad Safwan berkata, tindakan mengenakan caj baharu atau menaikkan caj tertentu bertentangan dengan prinsip PH untuk mengurangkan beban rakyat.

“Biarpun kerajaan berbuat demikian untuk memulihkan kedudukan kewangan negara dan negeri, ia dibimbangi akan memakan diri kerana imej kerajaan kini semakin terhakis disebabkan tindakan yang tidak popular seperti ini.

“Kami mendengar keluh kesah rakyat di bawah yang mahukan nasib mereka dibela, suara mereka didengar. Maka kami mengharapkan kenaikan tarif air dan apa-apa tarif lain ditangguhkan dahulu buat masa ini sehingga ekonomi kembali stabil dan pendapatan boleh guna rakyat meningkat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menjangkakan tarif air pada tahun ini akan berdepan kenaikan.

Bagaimanapun, semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan kenaikan tarif air di negeri ini tidak akan membebankan rakyat sekiranya ia dilaksanakan – sinar harian