RIMBUNAN pohon yang sudah mencecah ratusan tahun ibarat kanopi semulajadi yang melitupi jalan daripada panas terik matahari di sekitar Taman Tasik Taiping, pemandangan biasa bagi penduduk tempatan namun mengagumkan buat mereka yang pertama kali melihatnya.

   Popular sebagai destinasi pelancongan menarik, selain lokasi di sini pernah diangkat di beberapa buah filem dan drama tempatan, menguatkan lagi daya penariknya dan tidak sah rasanya kunjungan ke sini jika tidak merasai sendiri keindahan tasik dan segarnya udara sekeliling.

   Untuk pengetahuan anda, Taman Tasik Taiping dibina di atas lombong bijih timah terbiar seawal tahun 1880 apabila perusahaan bijih timah semakin merosot akibat kehabisan sumber galian dan diubah menjadi kawasan rekreasi untuk orang awam sehingga sekarang.

   Selain Taiping yang juga terkenal dengan sejarah bangunan yang pertama di Malaysia Taman Tasik Taiping juga merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu pada waktu itu sebagaimana yang terdapat di buku-buku sejarah.

 

 

  Antara filem yang pernah menggunakan latar belakang lokasi di sini seperti Hapuslah Air Matamu, Azura @ Sepi serta beberapa genre drama terkini yang begitu menghargai keunikan dan keindahan kawasannya.

   Barisan pokok yang terdapat di sekitar tasik iaitu Angsana dan dahannya menjalar dari jalan sehingga ke gigi air kelihatan sangat nostalgia dan sering dijadikan lokasi untuk para pengantin baru merakamkan detik-detik istimewa untuk tatapan anak cucu dan hari tua.

   Tidak ketinggalan juga bagi aktiviti bersenam dan riadah, anda boleh melihat masyarakat dari pelbagai peringkat umur memanfaatkan waktu senggang mereka. Ada yang membawa ahli keluarga berkelah, joging dan menikmati pemandangan semulajadi.

  

Berkeluasan 64 hektar dan memiliki sepuluh tasik serta kolam teratai yang sering dikunjungi orang ramai.

Terdapat juga trek untuk pejalan kaki dengan dikelilingi tanaman dan spesis pokok tropika. Pendek kata, aktiviti pagi dan petangnya tidak pernah sunyi dengan pelbagai aktiviti menarik.

 

   Struktur warisan budaya meliputi kehijauan taman ini, termasuk Old Residency, dahulunya merupakan kediaman Setiausaha kepada Residen, Rumah Raja dan kediaman pegawai tentera. Begitu juga dengan Maxwell Hill atau Bukit Larut yang sinonim dengan pencinta alam semulajadi.

   Jika berkunjung ke sesuatu tempat semestinya makanan popular yang sering menjadi ‘trademark’ tidak terlepas menjadi buruan pengunjung, bagi Taiping selain nasi kelainan yang perlu dicuba adalah keenakan Yong Tau Foo Sotong Kangkung di sini.

   Lokasinya berdekatan Medan Selera bersebelahan Balai Bomba Taiping dan berhadapan dengan Taiping Mall. Ia antara yang disebut sebagai antara Yong Tau Foo yang sedap dan menepati selera anda.

   Bukan hanya makanan itu, Cendol Bismillah  dan Doli Kuey Teow Goreng turut menjadi sebutan ramai.

   Ia antara makanan wajib yang patut dicuba setiap kali ke Taiping, rasa cendol yang cukup kesemua bahannya mampu membasahkan tekak anda ketika cuaca panas terik. Selain keistimewaan kuey teow Doli  yang turut terkenal dengan hidangan nasi ayam.