PETALING JAYA : Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu bersedia untuk dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti itu susulan kenyataannya bersedia membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa PPBM.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kenapa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak dikenakan tindakan selepas beliau secara terbuka menentang perjanjian PH mengenai penyerahan jawatan perdana menteri kepada presiden parti itu Anwar Ibrahim.

“Apa pun keputusannya, saya akan tetap berpegang pada niat baik dan sebagai wakil rakyat melihat rakyat sebagai ketua saya,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Sebelum ini, Azmin berkata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad patut kekal sebagai perdana menteri sepanjang mandat lima tahun pemerintahan PH.

Dalam perjanjian yang dipersetujui pimpinan PH sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Mahathir harus menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi tiada tarikh tepat dinyatakan.

Bagaimanapun tempoh masa dua tahun selalu disebut-sebut sebagai had masa peralihan kuasa itu akan dibuat.

Semalam Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, Liu akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataannya sebelum ini.

Loke berkata, tindakan Liu merupakan satu tindakan sabotaj yang serius dengan tujuan menjejaskan kestabilan dan memecahkan perpaduan dalam kerajaan PH.

Selasa lalu, Liu membidas prestasi Mahathir dan berkata, sekiranya pengerusi PPBM itu cuba memecahkan PH, parti DAP, PKR, Amanah, Warisan dan Upko masih boleh bergabung dan membentuk kerajaan baru tanpa PPBM.

Selain itu, Liu turut mendakwa Mahathir mahu mengikut model pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai sebuah parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Liu juga mempersoalkan pendirian Mahathir yang menerima bekas ahli Umno sebagai ahli PPBM, selain kegagalan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Dalam pada itu, Liu yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek berkata, beliau yakin dirinya tidak bersalah kerana hanya bercakap mewakili rakyat.

Katanya, beliau akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara dan menegaskan pandangannya itu tidak mewakili kedudukannya dalam DAP.

“Tidak ada niat untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam PH dan pastinya dalam parti yang saya telah berkhidmat selama bertahun-tahun.

“Banyak perkara yang saya bangkitkan juga adalah berdasarkan respons terbuka rakyat menerusi media sosial,” katanya.

Liu berkata, beliau tidak boleh membenarkan PH tidak menunaikan janji yang dibuat, terutama dalam manifesto sebelum PRU14.

Katanya, rakyat bimbang banyak janji yang dibuat tidak ditunaikan, terutama apabila Mahathir sendiri berkata bahawa manifesto itu dibuat pada masa PH menganggap ia tidak akan menguasai kerajaan persekutuan.

“Kita tidak boleh membenarkan PH, hatta perdana menteri sendiri, untuk menyeret kita ke jalan yang sama yang diambil oleh bekas rejim Barisan Nasional(BN),” katanya.

Liu berkata, rakyat tidak berpuas hati dengan Mahathir apabila senarai janji PH tidak dipenuhi seperti janji berkaitan Lynas, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penghapusan tol, pinjaman PTPTN, royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Mahathir tidak boleh bertindak secara sepihak, terutama berkait isu yang memberi kesan ke atas keyakinan rakyat terhadap PH.

“Terbaru, beliau turut menmbulkan kemarahan kerajaan beberapa negara lain dan memberi kesan ke atas hubungan dua hala.

“India misalnya telah memutuskan untuk memboikot minyak kelapa sawit.

“Ini akan menggugat ekonomi kita, terutamanya jika China juga bertindak sama susulan komen beliau mengenai ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam,” katanya.