PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan mengapa dana asing yang diterimanya dan didakwa wang haram dikenakan cukai.

“Lagi menakjubkan ialah kerajaan PH telah dakwa saya di mahkamah bahawa dana-dana yang saya terima itu adalah wang haram.

“Tapi LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) bawah kerajaan PH pula anggap ini bukan wang haram, tetapi ‘pendapatan sah’ yang perlu dicukai pula.

“Takkan wang yang haram pun kerajaan PH mahu cukai?” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau merujuk saman difailkan kerajaan melalui LHDN kerana beliau tidak membayar denda cukai sebanyak RM1.69 bilion dari 2011 hingga 2017.

The Edge Markets pada 1 April lalu melaporkan siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan RM4 bilion yang termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya yang didakwa dana 1MDB.

Hari ini, Najib berkata, PH kini berkuasa dan mempunyai hak untuk mengambil sebarang tindakan melalui mahkamah, walaupun kes itu tidak masuk akal.

“Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh mengupah peguam lagi dan menghabiskan masa bertahun-tahun untuk melawan dan menang di mahkamah,” katanya sambil menambah rakyat akan menilai setiap tindakan PH.

Katanya, beliau tidak pernah mengelak daripada membayar cukai dan buktinya ialah afidavit kerajaan membuktikan beliau sudah membayar cukai kepada LHDN setiap tahun tanpa gagal.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebarang derma atau wang dari sumber asing tidak sepatutnya dikenakan cukai.

-FMT