IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempersoalkan mengapa beliau menjadi sasaran berhubung isu pengurusan kewangan Movie Animation Park Studios (MAPS).

Menurut Zambry, adalah sesuatu yang janggal, menjadikan beliau sebagai sasaran dengan melemparkan pelbagai tuduhan, serta mendakwanya bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan projek itu.

Katanya, beliau bukan Pengerusi Perak Corporation (PCB) Bhd dan Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd, sebaliknya hanya merupakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui jawatannya sebagai Menteri Besar ketika itu.

“PCB Bhd adalah sebuah syarikat awam yang diurustadbir mengikut peraturan Bursa Saham. Bukanlah sewenang-wenangnya, PCB Bhd boleh membuat sebarang tindakan tanpa mengikut proses serta urus selia tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Baru-baru ini, Astro Awani melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin berkata, bekas Menteri Besar itu perlu menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan mendadak kos pembangunan dan pembinaan Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Zambry berkata, apa yang paling menjelikkan ialah tuduhan serta dakwaan itu dibuat sebelum proses audit oleh firma berkenaan dimulakan.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil bagi Zhemin, membuat tuduhan serta dakwaan membabitkannya, yang tidak terlibat dalam urusan PCB Bhd ataupun anak syarikatnya ATP Sdn Bhd.

Beliau turut menpersoalkan tujuan tuduhan itu dan kenyataan-kenyataan yang dibuat bertalu-talu oleh DAP melalui ADUN mereka.

Menurutnya, tindakan itu juga seolah-seolah mahu membuat perbicaraan melalui media (trial by media).

“Ini jelas menunjukkan perkara ini dibuat bukan untuk mendapatkan kebenaran dan hanya sebagai satu cara DAP melaksanakan dendam politik mereka terhadap saya dan kerajaan BN dahulu.

“Ia juga adalah satu cubaan DAP memutarbelitkan isu ini bagi tujuan politik dan bukannya untuk kepentingan umum,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan itu juga bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap kekurangan di dalam pentadbiran kerajaan negeri, di samping kegagalan mereka memenuhi janji dan manifesto.