SONGKHLA: Thailand akan melaksanakan peraturan baharu untuk memasuki negara itu di pintu masuk sempadan negara itu dan Malaysia mulai 1 Okt ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang hendak memasuki Thailand supaya memahami dan mematuhi peraturan baharu itu serta menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, antara peraturan itu adalah perlu mengisytiharkan kenderaan serta penumpangnya dengan mengisi borang masuk kepada Jabatan Imigresen dan Kastam Thailand.

“Pemandu yang gagal mengisytiharkan kenderaan akan dikenakan denda sehingga empat atau lima kali ganda nilai kenderaan atau kenderaan ditahan dan penjara selama dua tahun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah meminta maklumat lengkap berhubung peraturan baharu itu daripada pihak berkuasa Thailand dan akan dimuat naik dalam laman web Kementerian Luar apabila memperolehinya.‎ — BERNAMA