IPOH – Polis kontinjen Perak hari ini menerima 95 buah motosikal dan lima buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) baharu bagi memantapkan lagi usaha pencegahan jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, 95 buah motosikal itu terdiri daripada jenis Kawasaki Naked Z250 dan Scrambler KLX 250 manakala lima buah 4WD itu pula terdiri daripada Isuzu D-max dan Nissan Navara.

Katanya, motosikal itu akan digunakan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan 4WD itu pula, empat buah Nissan Navara akan digunakan oleh Unit Light Strike Force serta Nissan Navara akan digunakan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB).

“PDRM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin serta memberikan sejumlah kenderaan kepada kita bagi memastikan tugas kepolisian dapat dijalankan dengan lancar.

“Kesemua kenderaan yang diterima ini amat-amat sesuai bagi polis untuk laksankaan tugas serta rondaan kepolisian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Motosikal URB Kawasaki dan Kenderaan 4WD LSF Kontinjen Perak di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini pada Khamis.

Tambah Hasnan, selain unit URB, lima buah kenderaan 4WD itu akan digunakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Empat buah kenderaan untuk Light Strike Force itu  masa ini kita khususkan kegunaanya ketika PRU nanti, termasuk juga kenderaan pemusnah bom,” ujar beliau.