PANGKOR: Perak mencadangkan agar kenderaan menggunakan teknologi hijau diperkenalkan di Pangkor, sebagai salah satu komponen tambahan pulau bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagaimanapun berkata, cadangan itu masih dalam perbincangan awal dan berharap warga Pangkor dapat memikirkannya.

Menurut beliau, kenderaan yang tidak menggunakan petrol dan diesel mampu memelihara alam sekitar di Pangkor.

“Banyak tempat di luar negara telah mengamalkannya, contohnya di Nanning, China di mana terdapat empat juta motosikal letrik,” katanya dalam sidang media sempena lawatan ke pulau pelancongan itu, hari ini.

858b89f1-d1ca-4d60-aeba-ae42ebbcc2cf

Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata, beliau juga telah meminta persatuan teksi di pulau itu untuk mengkaji penggunaan teksi eletrik.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kajian mendalam pelaksanaan Pangkor sebagai pulau bebas cukai masih dilaksanakan dan dijangka dapat disempurnakan tahun ini, termasuk kemudahan CIQ dan jeti awam.

 

“Masalah utama ialah jeti yang ada tidak mampu menampung kemasukan pelancong, kadang-kadang antara 30,000 hingga 50,000 orang dalam satu-satu masa, kita minta kerajaan buat kajian komprehensif,” ujarnya.

Terdahulu, beliau merasmikan MyBomba JPP dan kempen keselamatan kebakaran peringkat zon 3 Perak di Dewan Serbaguna Kg Teluk Kecil.

Dr Zambry berkata, kesedaran kebombaan wajar diterapkan sejak kecil agar mereka tahu apa yang harus dilakukan sekiranya berlaku kebakaran.