KUALA LUMPUR – Ungkapan serta tindakan UMNO dan Pas mengakibatkan orang bukan Islam berasa tidak selamat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad berkata, logik jika golongan bukan Islam berasa tidak selamat dan merasakan kerjasama kedua-dua parti itu berasaskan kebencian antara satu sama lain.

“Itu pandangan masing-masing kerana ianya merupakan satu suasana yang telah mereka sendiri hasilkan.

“Mereka menggunakan ungkapan negara bahaya, terancam oleh orang bukan Islam, maka seruan mereka addalah seruan menyatukan Melayu dan Islam untuk menghadapi ancaman bukan Islam.

“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian rupa, tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia merupakan satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

MGF29112018_SIDANG PARLIMEN_05
Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Kempen-kempen kedua-dua parti tersebut menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, terlalu negatif kerana sering membibitkan ketakutan dan kebencian di antara Islam dan bukan Islam.

“Jadi tidak salah jika bukan Islam terasa terancam kerana kempennya selalu kempen kebencian dan ketakutan itu yang mereka buat, ia tidak normal dan natural menggunakan kempen kepada orang Islam mereka terancam, bukan Islam nak berkuasa.

“Kita perlu ajak rakyat Malaysia menganggap negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kembali kepada asas Malaysia, hormat agama dan budaya sesama sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Dalam pada itu Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen dilihat senada dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Katanya parti itu bukan sahaja mengancam Pakatan Harapan malah keseluruhan negara.

“Pas dan UMNO bukan hanya ancam PH tapi juga seluruh negara kerana kamu lihat propaganda yang dilakukan. Menggunakan isu perkauman dan agama jadi saya setuju dengan komen saudara Nga Kor Ming,” ujarnya. – MalaysiaGazette