KUALA LUMPUR: Kenyataan awam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang mendakwa dikenakan tekanan dan ancaman bunuh ketika menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), boleh menjejaskan siasatan kes itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang juga seorang peguam berkata Mohd Shukri sepatutnya sedar kenyataan awam yang didedahkan semalam itu boleh mengganggu siasatan kes 1MDB yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Walaupun saya bersimpati dengan nasibnya (diancam), Shukri perlu sedar kenyataan awam boleh menjejaskan penyiasatan semasa 1MDB, yang diketuainya ketika ini.

“Beliau mungkin ‘berdendam’ susulan gangguan diterimanya ketika siasatan terdahulu.

“Tindakan ini serius kerana berpotensi menyebabkan ketidakadilan dan berat sebelah dan melanggar keadilan pendakwaan kepada pihak yang dituduh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, Ramkarpal mendesak Mohd Shukri menghentikan kenyataan dan serangan awam kepada bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Mohd Shukri perlu membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya boleh diambil berkaitan aduan dan pendedahannya, semalam.

“(Dengan ini) Siasatan semasa ke dalam skandal 1MDB oleh SPRM tidak akan tercemar dalam apa jua cara kerana suspek mempunyai hak untuk disiasat dengan adil,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu meletak jawatan secara sukarela selepas dikaitkan dengan dakwaan melindungi Najib dalam siasatan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan putera Arab Saudi ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri itu pada 2014.

“Peletakan jawatan Apandi membolehkan Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong melantik peguam negara baharu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan peguam negara baharu adalah penting kerana peranannya memberikan cadangan dan nasihat kepada kerajaan susulan banyak kes dibuka semula,” katanya – berita harian