IPOH: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa ada menteri kanan akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat sebagai satu helah politik untuk melemahkan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau,  kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor itu sebenarnya bertujuan hendak mewujudkan suasana kekeliruan  dalam kalangan pemimpin BN.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun menafikan kenyataan itu.

“Itu sebenarnya mesej yang betul dan daripada penafian yang dibuat Perdana Menteri jelas membuktikan bahawa Azmin cuba menggunakan helah politik untuk mewujudkan suasana kekeliruan di dalam kalangan pemimpin BN,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pesta Ponggal dan pejabat MIC Bahagian Ipoh Barat di Buntong pada Ahad. Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

Menurut Subramaniam, beliau penuh yakin dan percaya bahawa kenyataan tidak masuk akal yang dibuat Azmin itu tidak akan melemahkan BN.