Penyatuan di antara UMNO dan PAS tidak sama sekali berniat untuk mengancam atau mengisytiharkan perang (declaration of war) kepada orang bukan Melayu sebagaimana yang didakwa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan awalnya.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, meskipun Guan Eng membuat pembetulan kononnya mahu melembutkan kenyataan awalnya sebelum ini, namun niatnya tetap disifatkan melaga-lagakan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Apakah menjadi satu kesalahan untuk orang Melayu bersatu demi perpaduan ummah? Apakah Guan Eng mahu hanya orang Cina bersatu bawah DAP seperti yang telah dia capai.

“Tapi sebaliknya nakkan supaya orang Melayu selama-lamanya berpecah-belah, berbalah dan bercakaran antara pelbagai parti? Apa yang nyata kenyataan Guan Eng menonjolkan lagi sikap rasis DAP yang melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Khusairi yang juga selaku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menegaskan Guan Eng sewajarnya didakwa di bawah Akta Hasutan, tidak mengira apa jua kedudukannya dalam Kerajaan sekarang.

“Tidak ada disebut sama sekali oleh pemimpin UMNO ataupun PAS bahawa penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu mahu mengancam, apatah lagi mahu mengisytiharkan perang (declaration of war) ataupun mensasarkan (target) orang bukan Melayu,” katanya lagi.