IPOH: Kenyataan pihak pembangkang yang meluahkan hasrat untuk mengambil Perak sebagai anak angkat hanya menampakkan kepincangan serta krisis dalam kepimpinan mereka selama ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sedikit pun tidak terkesan dengan kenyataan daripada pemimpin pembangkang tersebut.

Sebaliknya, kata Dr Zambry, beliau lebih suka memberi tumpuan kepada negeri Perak dan terus bekerja untuk rakyat.

“Biarlah mereka susun apa sahaja perancangan, sedangkan masalah dalaman mereka pun masih berperang sesama sendiri.

“Saya percaya mereka juga mengalami masalah serius sesama mereka di dalam parti, eloklah kalau Azmin tengok-tengokkan negeri dia, belum tentu dia menang dalam PRU akan datang.

“Tapi kalau dia rasa dia kuat nak pecah-pecahkan, bahagikan masa dari segi taktikal dia sangat dialu-alukan, bagus juga dia tidak boleh tumpu Selangor, kita ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Lot Kediaman Rancangan Perumahan Tersusun ( RPT) Bemban Rakyat Kepada Setinggan Buntong di Dewan Serbaguna, SUK pada pagi Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berhasrat untuk menjadikan negeri Perak sebagai anak angkat dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dr Zambry berkata, pihaknya sudah lali dengan kenyataan serta ugutan pihak pembangkang yang sememangnya diketahui kini seperti berpecah-belah dan tidak bersatu.

“Dari dulu lagi, dia berebut nak Perak tetapi keadaan keputusan sebaliknya, biarlah dia bercakap, saya tak nak bercakap besar seperti mereka.

“Masalah pembangkang, dia fikir kita hidup dalam negara yang berpandukan undi popular, namun sebenarnya Westminster iaitu ditentukan dari segi jumlah kerusi dimenangi, biarlah dia dibuai dengan kenangan dia yang tak tercapai,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak memberitahu, pihaknya akan menghantar beberapa ribu ahli untuk menghadiri Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei depan.

“Kita komited kerana Majlis Tertinggi telah menetapkan perkara berkenaan dan kita juga akan mengadakan pelbagai program khususnya di peringkat Bahagian, selain menghantar wakil negeri untuk berkumpul di Bukit Jalil,” katanya.