Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: UMNO Bahagian Sungai Siput sewajarnya bijak menggunapakai kepelbagaian kaum dalam masyarakat di kawasan tersebut sebagai kelebihan untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Sungai Siput mempunyai potensi kemenangan yang amat besar berdasarkan rekod Barisan Nasional menguasai kerusi baik di peringkat Parlimen dan ADUN sebelum ini.

Jelasnya, UMNO perlu memberi perhatian kepada tiga kerusi Sungai Siput yang kini dua daripadanya dipegang oleh pihak pembangkang dengan memfokuskan kepada penyatuan kaum.

“Kita hendak Barisan Nasional tunjukkan kekuatan daripada kepelbagaian bangsa ini, semua kaum pun boleh menang dalam kerusi seumpama ini.

“Kepada kaum bukan Melayu yang menolak BN, kita harap mereka boleh faham apa sebenarnya tugas dan tanggungjawab, serta sumbangan BN kepada semua kaum di negara ini.

“Saya ingat, kalau difahamkan secara elok kepada semua masyarakat ini barulah mereka boleh mengambil inisiatif dan semangat untuk menyokong BN, itu sudah sesuautu yang cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput di sini pada petang Ahad.

Katanya, beliau agak terkejut dengan masyarakat di Sungai Siput yang boleh bertukar angin ke arah pembangkang dan hilang keyakinan setelah memilih Barisan Nasional sejak 40 tahun lamanya sebelum ini.

“Dulu tidak ada masalah sebelum 2004, tetapi pembangkang datang dan mainkan sentimen perkauman dan dia mula pecahkan, itulah mula berlaku semua ini.

“BN kena hidupkan semula momen itu, kita akan bekerja macam biasa tetapi kita minta rakan-rakan parti kompomen turut serta, tingkatkan peratusan pengundian kepada BN daripada kaum lain.

Mahdzir berkata beliau enggan melihat pembangkang menggunakan keunikan pelbagai kaum sebagai senjata untuk meraih undi pihak mereka dengan sewenang-wenangnya.

“Sikit-sikit hal dalam politik, nak pergi kepada isu kaum, ini negara pelbagai kaum, setiap kaum ada pencapaian masing-masing dalam kaum mereka.

“Kenapa tidak kita ambil kejayaan itu, kita kongsi bersama, yang telah kita amalkan sejak sekian lama dalam majmuk Malaysia ini?,” ujarnya.