IPOH: Pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang selain melahirkan lebih ramai pemimpin ternama di masa hadapan, ujar Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Mengambil contoh surah pertama di dalam al-Quran iaitu Iqra yang nyata memberi penekanan tentang kepentingan manusia mencari ilmu.
“Pendidikan adalah alat yang membentuk kekuatan, kebolehan dan kehidupan seseorang, kita tidak mampu mencapai semuanya tanpa pendidikan yang sempurna.
“Dunia telah memasuki fasa baharu dalam bentuk Revolusi Industri 4.0 dan Objek Rangkaian Internet (Internet of Things), kita perlu mula memikirkan untuk mencipta nilai yang mampu memberikan kesan positif dalam komuniti dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutup Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018 di Casuarina@Meru, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr. Nordin Kardi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika baginda menyempurnakan majlis perasmian WCIT semalam.
“Baginda menyampaikan mesej jelas tentang tindakan konstruktif dapat dilaksanakan dalam merealisasikan impian “masa depan milik kita”,”katanya.
WCIT 2018 kali ini menghimpunkan lebih 20 orang penceramah dan pemikir dari pelbagai negara, anjuran yang memasuki siri kelima ini turut meliputi topik seperti budaya, agama dan ekonomi