IPOH: Perak berjaya menyelesaikan masalah keperluan asas, seperti air dan elektrik untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini yang dianggarkan 60,000 orang.

Malah, Perak juga menjadi negeri pertama di negara ini yang mewartakan kawasan penempatan dan pertanian bagi masyarakat tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan negeri telah mewartakan 13,652 hektar tanah untuk tujuan tersebut.

“Proses untuk perwartaan di tempat-tempat lain akan berterusan dan saya tidak mengatakan bahawa hanya setakat itu.

“Ianya sedang berjalan dan saya harapkan ia akan dapat terus dilaksanakan bagi memastikan bahawa tempat-tempat penempatan Orang Asli itu diwartakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan pemimpin masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, senator yang mewakili masyarakat Orang Asli Malaysia, Datuk Isa Ab Hamid dan empat exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Samsudin Abu Hassan

Dr Zambry menjelaskan, perjumpaan itu adalah acara tahunan yang telah diatur kira-kira sebulan lalu, antara lain bagi berbincang dan mendengar pandangan mereka di samping memberi penjelasan berkaitan pembangunan yang berlaku di kawasan masing-masing.

Pada majlis berkenaan, Dr Zambry turut menyampaikan watikah pelantikan beberapa Tok Batin yang baru di samping penyampaian bonus tambahan RM500 kepada 175 tok batin di negeri ini, seperti yang diumumkan di dalam Bajet 2018 negeri Perak.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan melalui bajet 2018 telah mengumumkan bonus RM1,000 kepada beberapa kumpulan pemimpin setempat, termasuk tok-tok batin.

Di dalam ucapannya, Menteri Besar menasihatkan tok-tok batin supaya menjaga anak-anak buah mereka supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang hanya datang pada musim-musim tertentu.

“Saya sedih kerana terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan masyarakat Orang Asli untuk matlamat tertentu mereka,” ujarnya.

Sementara itu, wakil tok batin, Sahar Husin di dalam ucapannya berkata, seperti masyarakat lain di negeri ini, masyarakat Orang Asli juga tiada yang tertinggal dan tiada yang terpinggir.

Sehubungan itu, beliau yakin, mereka akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dr Zambry.