BATU KURAU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak menyifatkan keperluan aset air untuk kegunaan agensi itu terutama di daerah berisiko banjir di negeri ini agak kritikal.

Pemangku pengarahnya, Leftenan Kolonel Zairul Anuar Zulmuji berkata, meskipun agensi itu baru menerima dua aset air berupa bot amfibia bagi kegunaan daerah Kuala Kangsar dan Hilir Perak, pihaknya menyifatkan keperluan aset air bagi beberapa daerah lain juga agak mendesak.

Menurutnya, daerah berisiko banjir yang dikenal pasti pihaknya amat memerlukan tambahan aset air adalah daerah Manjung, Larut Matang dan Kerian.

“Selain aset air, APM Perak juga amat memerlukan tambahan aset lain seperti ambulans, lori dan kenderaan pacuan empat roda pada hampir keseluruhan 15 daerah di negeri.

“Keperluan penambahan aset itu penting kerana APM kini beroperasi selama 24 jam sehari dan sering mendapat perhatian rakyat terutama dalam kes kecemasan EMRS serta operasi menyelamat mangsa banjir,” katanya kepada media sewaktu mengadakan tinjauan program Gerak Operasi Ex-Setia membabitkan 15 APM daerah di Perak di Changkat Larah, di sini semalam.

Turut hadir Pegawai APM Daerah Batang Padang, Shahrizal Hussin.

Zairul Anuar berkata, APM Perak kini turut bersiap siaga dalam menghadapi kehadiran musim tengkujuh dan ancaman banjir di Perak yang dijangka bermula Oktober ini.

Menurutnya, latihan operasi berterusan seperti Gerak Operasi Ex-Setia ini akan sentiasa diteruskan bagi meningkat tahap kecekapan anggota APM Perak, bukan sahaja dalam mengendalikan peralatan khas, malahan kemahiran dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“APM Perak turut menyeru rakyat supaya turut bersiap siaga dalam menghadapi potensi ancaman banjir terutama di kawasan berisiko banjir dengan mengadakan persiapan awal.

“Penduduk juga diminta untuk sentiasa patuh kepada arahan pihak berwajib bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku di kemudian hari,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Zairul Anuar turut menyasarkan sekurang-kurangnya 12,000 sukarelawan baharu dapat didaftarkan menyertai APM Kerian pada tahun ini.

Menurutnya, sehingga kini APM Perak memiliki 200,000 sukarelawan berdaftar, namun anggota yang benar-benar aktif hanya sejumlah 2,000 orang sahaja.

“Kita mengharapkan lebih ramai rakyat Perak tampil bukan sahaja mendaftar penyertaan dengan APM, malah bergiat aktif membantu pihak memerlukan terutama dalam kalangan golongan belia,”katanya – sinar