IPOH: Kepimpinan tertinggi UMNO perlu bertanggungjawab atas kepincangan yang berlaku sehingga menyebabkan Putrajaya ditawan oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata adalah amat penting untuk kesemua pihak cuba memperbetulkan kepincangan yang berlaku terutama dari aspek kepimpinan parti di peringkat tertinggi.

Menurut Shahril, pengajaran utama daripada peralihan kuasa itu adalah amat jelas, iaitu UMNO memerlukan transformasi kepimpinan dan pendekatan malah kepentingan Parti dan perjuangan bangsa harus diutamakan daripada kepentingan diri

“Apa yang telah berlaku ini, kesemua ahli parti harus menerima kegagalan ini dengan hati terbuka apabila gagal untuk menjadi akar umbi yang baik untuk memberi teguran tulus.

“Malah, kepimpinan peringkat tertinggi pula harus bertanggungjawab atas apa yang telah belaku dan perlu berjiwa besar untuk menerima segera perubahan kepimpinan,”katanya dalam satu kenyataan media di sini,hari ini.

Shahril, yang merupakan ADUN Bota (BN) itu menegaskan bahawa ahli parti Barisan Nasional harus menerima kegagalan untuk mempertahankan Putrajaya dalam PRU ke-14 ini juga adalah disebabkan rungutan anak muda sebagai pengundi kali ini.

Tegas beliau, antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan tersebut adalah tsunami pengundi muda yang rata-rata baru pertama kali mengundi.

“Keputusan ini berlaku hasil rungutan dan keluhan anak muda di laman sosial tentang MO1, 1MDB serta GST dan ia menunjukkan bahawa isu Nasional merupakan punca utama mengapa pengundi muda memilih Pakatan Harapan.

“Malah, kebanyakan pengundi muda ini menulis di laman sosial yang mereka sebenarnya tidak menolak Barisan Nasional.

“Untuk Barisan Nasional, kita masih menang sebanyak 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi itu dan masih mentadbir beberapa negeri tetapi, anak-anak muda ini pula mahukan suara mereka didengari secara terus dan tidak mendapat maklum balas sinis dari pucuk pimpinan apabila sesuatu perkara diutarakan oleh mereka,”katanya lagi.

“Kita perlukan ‘nafas baru’ yang vokal, segar dan agresif dalam perjuangan parti sebagai usaha untuk merampas kembali Putrajaya pada Pilihanraya Umum Ke-15.

“Dengan ini, Pemuda Perak mengucapkan Tahniah kepada Pakatan Harapan yg telah mengetuai Kerajaan Persekutuan. Diharap PH menjadi Kerajaan yg baik, sewajarnya PH diberi ruang utk mentadbir serta melaksanakan manifesto rakyat,”ujarnya lagi.

Bagi pesanan terakhir, Shahril sempat menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli UMNO untuk menjadi seorang pembangkang yang baik di Malaysia.

BERITA BERKENAANBN Telah Mempunyai Cukup Kerusi Untuk Membentuk Kerajaan Negeri Perak