PUCHONG: Sepasukan bomba dan penyelamat dikejarkan ke sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong, di sini, petang tadi, selepas berlaku tindak balas bahan kimia di premis berkenaan.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan menerima kesan buruk berikutan kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu.

Ia juga tidak menjejaskan struktur bangunan itu yang terletak di berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Nurizawan Basri, berkata tindak balas bahan kimia organik Peroxide yang disimpan di dalam tong besi di premis berkenaan menyebabkan kepulan asap keluar, namun tidak menghasilkan kebakaran.

Terdahulu, katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dengan kekuatan sebuah jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 5.27 petang.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya segera mengawal keadaan dengan melakukan proses penyejukan menggunakan air.

“Kami juga melakukan pengosongan bangunan dan memastikan tiada bahan yang tidak selamat di dalam premis.

“Daripada maklumat yang diterima, pekerja dikatakan tersalah melakukan campuran bahan kimia yang menyebabkan asap terhasil sebelum melaporkan kejadian kepada bomba.

“Asap daripada tindak balas itu boleh menyebabkan kerosakan pada kulit manusia,” katanya sambil menambah operasi turut dibantu BBP Puchong – berita harian