KUALA LUMPUR: Bekas perogol bersiri Selva Kumar Subbiah kembali ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun kerana melakukan serangan seksual ke atas puluhan wanita di Toronto, Kanada.

Dia dihalang daripada memasuki Sabah dan digambarkan sebagai individu yang berisiko tinggi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata Sabah membuat keputusan itu kerana berpendapat lelaki dari Pulau Pinang itu yang tiba pada Selasa, boleh menimbulkan bahaya kepada orang ramai, terutama wanita dan kanak-kanak.

“Kami tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas. Kami perlu melindungi rakyat kami,” kata Musa dalam satu kenyataan.

Katanya Jabatan Imigresen Negeri telah diarah menguatkuasakan larangan itu dengan serta-merta.

Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa Imigresen yang membolehkan mereka menghalang mana-mana individu daripada memasuki negeri masing-masing.

Selva Kumar selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan didakwa melakukan serangan seksual terhadap hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang Selva Kumar selepas dia dibebaskan pada 29 Januari lepas.

Dalam pada itu rakyat Malaysia turut meluahkan kebimbangan dan rasa takut mereka di media sosial.

Pengguna Facebook Angeline Dominic berkata, walaupun telah berusia 57 tahun, Selva Kumar masih boleh menimbulkan risiko kepada orang ramai.

“(Selepas) 24 tahun … tidak tahu apa rancangannya dan apa yang dia bayangkan.

“Anda tidak akan tahu apa yang ada dalam kepala seorang lelaki sehinggalah dia bertindak,” katanya, sambil menambah mengambil langkah awal adalah lebih baik daripada menyesal kemudian.

Nancy Tang bersetuju bahawa orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui lokasinya agar mereka dapat mengambil langkah berjaga-jaga.

Jenifer Ng berkata kepada pihak berkuasa: “Kami tidak boleh dan tidak akan membiarkannya kerana ia melibatkan keselamatan diri yang dipertaruhkan.

“Anda mengambil sikap reaktif bukan proaktif. Anda sedang menunggu sesuatu yang buruk berlaku, sebelum bertindak balas.”

Uma David turut melahirkan kebimbangannya, menyatakan bahawa ‘tiada perlindungan, malah tiada langkah pencegahan diambil terhadap pelaku pedofilia, perogol dan seumpamanya.

“Banyak kumpulan ditubuhkan di Facebook, Telegram untuk atau oleh golongan yang ‘sakit’ ini! Ini benar-benar menakutkan”.

Uma menggesa pihak berkuasa mewujudkan daftar senarai pesalah seksual yang boleh diakses oleh orang ramai.

Aldri Fariz menulis di Facebook bahawa lebih baik Selva Kumar memakai gelang kaki elektronik atau sesuatu yang serupa supaya pergerakannya dapat dipantau.

Walaupun terdapat sesetengah pengguna Facebook berpandangan bahawa Selva Kumar layak menjalani kehidupan normal selepas 24 tahun dipenjara, netizen Alexander Wong berasa sebaliknya.

“Apa yang saya faham dia telah melakukan jenayah berulang kali.

“Peluang kedua? Kemusnahan yang dilakukan terhadap mangsanya adalah untuk seumur hidup!,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Selva Kumar tidak akan dipakaikan dengan peranti pengesanan dan dia kini berhak untuk hidup sebagai seorang yang bebas selepas menjalani hukumannya.

Seorang rakan yang rapat dengan keluarga Selva Kumar, dipetik oleh portal tempatan FMT sebagai berkata, Selva Kumar telah bertaubat.

Bercakap tanpa nama, sumber itu berkata: “Menurut keluarganya, dia telah bertaubat dan berjanji tidak akan melakukan jenayah itu lagi.”

Rakan itu juga menyifatkan laporan mengenai dirinya telah memangsakan seramai 1,000 wanita di Kanada sebagai tidak logik.

Sumber itu berkata, Selva Kumar, bekas pelajar Penang Free School, datang dari keluarga berada dan telah dihantar belajar di Kanada kira-kira 30 tahun yang lalu kerana keluarganya sukar mengawal dirinya.

Selva Kumar pergi ke sana sebagai pelajar pada tahun 1980 dan dilaporkan berkahwin dengan seorang wanita Kanada tetapi berakhir dengan perceraian.
Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/02/08/selva-kumar-disambut-musuh/#THL6QUDAXJH742iz.99