GERIK 22 April – Kesahihah sama ada tulang dan beberapa serpihannya yang ditemukan di Gua Kandu di Gopeng semalam milik manusia atau haiwan akan diketahui dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tulang berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk dianalisis bagi menentukan sama ada tulang manusia atau haiwan.

“Sekiranya keputusan analisis itu adalah tulang manusia, kita akan melakukan ujian deoksiribonukleik (DNA) bagi melihat sama ada ia sepadan dengan DNA ibu Mohammad Ashraf atau ahli keluarga lain.

“Apa pun kita perlu tunggu laporan dari Jabatan Kimia yang akan mengambil masa sebulan ke dua bulan lagi dan dalam masa sama kita cuba juga untuk mendapatkan keputusan laporan itu segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu yang baharu iaitu Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim menggantikan Deputi Superintenden Raduan Mohamad di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Zulkepli mengambil alih jawatan tersebut yang dipangku oleh Ketua Cawangan Khas IPD Pengkalan Hulu, Asisten Superintenden Su Shart Ai Chuan sebelum ini.

Menerusi laporan akhbar hari ini, penduduk kampung yang melakukan pencarian ke atas Mohamad Ashraf Hassan, 29, atau dikenali Acap telah menjumpai tulang berkenaan di dalam Gua Kandu kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Tulang dengan ukuran panjang 15 ke 20 sentimeter seakan-akan tulang betis bersama beberapa serpihan tulang itu bagaimanapun dipercayai adalah tulang lama. – UTUSAN ONLINE