TELUK INTAN – Keputusan tarikh pembukaan semula Jambatan Sultan Yusof akan diketahui sekurang-kurangnya esok selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan lawatan kerja.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya telah menghubungi Jurutera Daerah Hilir Perak dan dimaklumkan kemungkinan Timbalan Ketua Setiausaha JKR akan turun melakukan pemeriksaan dan lawatan  esok.

“Setakat hari ini kita masih pegang tarikh 28 Ogos untuk jambatan tersebut dibuka kepada orang ramai namun apa pun kita perlu tunggu keputusan dan arahan esok.

“Kerja-kerja pembaikan sudah dijalankan dan macam saya cakap kita akan tunggu esok bagi mendapatkan laporan lanjut,” katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku 2017 Peringkat Negeri Perak, di Dataran Menara Condong, petang tadi.

Zainol Fadzi turut mengakui bahawa perancangan awal  membenarkan kenderaan ringan melalui jambatan berkenaan bermula esok, namun terpaksa ditangguhkan.

“Peringkat awal memang kita cadang nak buka jambatan kepada kenderaan ringan 25 Ogos tetapi kita terpaksa kekalkan untuk buka 28 Ogos juga,” katanya.

Sinar Harian