KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan tahun 2017 akan diumumkan pada 24 Ogos ini, Khamis depan.

Kementerian Pendidikan melalui satu kenyataan akhbar hari ini berkata, seramai 12,589 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM Ulangan itu di sebanyak 229 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Pada peperiksaan berkenaan, sejumlah tiga mata pelajaran telah ditawarkan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Kata kenyataan itu, para calon akan dimaklumkan mengenai keputusan melalui pos atau mereka boleh mendapatkan dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri dimana para calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Para calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM Ulangan 2017 melalui MySMS 15888.

Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi pada 24 Ogos ini dan ditamatkan pada pukul 6 petang, 30 Ogos ini. – K! ONLINE