IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan keputusan kes pereka grafik yang didakwa memulakan penghantaran gambar karikatur badut menyerupai pemimpin negara sehingga di media sosial.

Hakim, Murtazadi Amran menetapkan 7 Februari bagi mahkamah membuat keputusan terhadap Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin,40,

Penangguhan dibuat setelah Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd Zameri memberitahu mahkamah hakim Norashima Khalid yang mendengar kes itu sedang bercuti sakit.

“Kami (pihak pendakwa dan pembelaan) juga bersetuju keputusan kes ini ditangguhkan pada 7 Februari depan,” katanya.

Pada 4 Januari lepas, Norashima memerintahkan Mohd. Fahmi yang diwakili peguam Louis Liaw membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Norashima memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Fahmi Reza di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Fahmi Reza’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 8 Februari 2016 dan dibaca pada pukul 2.40 petang pada hari yang sama di Seraya Sdn. Bhd., Batu 3, Jalan Jelapang dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari lepas, Mahkamah Sesyen di sini, turut memerintahkan pereka grafik, Mohd Fahmi , membela diri di atas pertuduhan itu.

Mohd Fahmi yang diwakili peguam Syahredzan Johan kemudian memilih memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.

Sebelum ini, pada 6 Jun 2016, Mohd Fahmi turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati pada 31 Januari 2016.

Dia dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kes terbabit selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.