TAPAH: Ibu bapa mesti mengubah persepsi kononnya anak-anak yang tidak cemerlang di dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh berjaya dalam kehidupan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, anak-anak yang mendapat keputusan minima boleh melanjutkan pelajaran di dalam bidang kemahiran.
Menurut beliau, sekarang ini bidang teknikal dan vokasional (TVET) sangat penting kerana ia memberi penekanan kepada kemahiran.
“Orang kata, zaman sekarang, segulung ijazah tidak bermakna tanpa kemahiran, jadi anak-anak yang mendapat keputusan yang minima boleh memanfaatkan bidang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini pada Isnin.
Hadir sama Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.
Karnival sehari itu dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Ayer Kuning, Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Majlis Daerah Tapah dan MARA selain dibantu Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).
spm ubah persepsi2
Menurut Samsudin, sebanyak 28 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kolej kemahiran mengadakan pameran di samping 12 syarikat yang menyediakan kira-kira 400 peluang kerja.
Beliau yang juga ADUN Ayer Kuning berkata, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi modal insan di Tapah, Yayasan Pelajaran MARA bersetuju menaja yuran tuisyen untuk 100 pelajar tingkatan 5 daripada 10 buah sekolah di dalam kawasan parlimen itu.
Tuisyen itu akan berlangsung selama lima bulan, bermula April ini dan para pelajar akan dipilih oleh sekolah-sekolah berkenaan.
“Apa yang lebih menarik, Yayasan Pelajaran MARA bukan sahaja menaja yuran tuisyen, malah mereka juga akan membayar tambang atau duit minyak ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka,” ujar beliau.
Sementara itu, Saravanan berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk generasi muda, termasuk di Tapah untuk melanjutkan pelajaran.
“Pemimpin membantu dan agensi kerajaan juga membantu tetapi yang paling penting ialah kesedaran ibu bapa sendiri kerana di dalam TN50 (Transformasi Nasional 2050), pembangunan modal insan sangat penting,” kata beliau.
Dalam hubungan ini, Saravanan menyifatkan penganjuran Karnival Pendidikan Parlimen Tapah 2017 tepat pada masanya kerana boleh memberi manfaat kepada warga muda di Parlimen Tapah.