Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Keputusan peperiksaan Sijil Rendah Agama Islam Perak (SRAI) tahun ini meningkat jika dibandingkan dengan keputusan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, seramai 11,299 calon menduduki SRAI daripada 11,621 yang berdaftar di 247 pusat peperiksaan.

Menurut beliau, Gred Purata Keseluruhan tahun ini meningkatkan 1 mata atau 0.3 peratus kepada 1.74, berbanding 1.75 tahun lalu.

“Jumlah calon yang mendapat keputusan tertinggi iaitu A dalam semua 6 mata pelajaran adalah seramai 2,041 atau 18.1 peratus, meningkat sebanyak 3 peratus berbanding 1,701 calon tahun 2016,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

96b281eb-4144-45f4-b125-c14f360e56d5

Hadir sama Ketua Penolong Pangarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islan Perak (JAIPk), Mohamad Nasar Kurdi.

Drs Nizar memberitahu, seramai 1,194 calon atau 10.6 peratus memperolehi 5A; 1,277 (11.3%) memperolehi 4A; 1,447 (12.8%) memperolehi 3A; 1,847 (16.3%) mendapat 2A dan 2,213 (19.6%) memperolehi 1A.

Di samping itu, kata beliau, 1,280 atau 11.3 peratus calon tidak memperolehi sebarang A manakala 876 (7.8%) lagi tidak mencapai tahap dalam semua mata pelajaran.

Beliau turut mengumumkan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) At-Taufiqiah. Kampung Melayu Bali, Tronoh muncul sebagai sekolah cemerlang dan Ahmad Sya’rawawi Ahmad Shukri dari SRAR Nurul Khairiah, Taman Lela, Kamunting sebagai calon cemerlang.

“Berdasarkan perbandingan gred purata pencapaian mengikut daerah pula, pencapaian terbaik adalah Daerah Parit Buntar dengan gred purata keseluruhan 1.62 mata.

Menurutnya, calon-calon yang layak boleh memohon untuk memasuki Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini, selepas keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan.

Tarikh tutup permohonan adalah dua minggu selepas keputusan UPSR dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang, jaipk.perak.gov.my atau jaipk.edu.my atau egerbang.perak.gov.my/smanjaipk

2acfcb08-e4c8-4fd3-8cc1-bc996144e605

Di samping disyaratkan menduduki SRAI tahun ini, pemohon juga mesti memperolehi sekurang-kurangnya 4A 2B dalam UPSR 2017 da sekurang-kurangnya 5A 3B dalam UPKK 2016.

Sementara itu,Pengetua SRAR At-Taufiqiah, Zubaidah Abd Ghafar berkata, inilah pertama kali sekolahnya yang mempunyai 159 murid, muncul cemerlang dalam SRAI di samping pernah menjadi sekolah terbaik UPKK beberapa tahun lalu.

Walaupun mengalami kekurangan bilik darjah dengan hanya 4 orang guru, mereka mengambil beberapa usaha untuk meningkatkan prestasi murid, termasuk mengadakan kelas malam.