DS Zahid telah membuat kejutan besar pada 30hb Jun 2019 dengan kembali memegang jawatan sebagai Presiden UMNO setelah bercuti selama 6 bulan. Barangkali inilah yang beliau sebutkan sebelum ini bahawa ulama kasyaf memberitahu akan berlaku “peristiwa besar” dalam negara.

Peristiwa besar ini adalah berdasarkan hujah bahawa mana mungkin seorang yang dikenakan dengan 87 kes, tetapi bertindak untuk bangun memegang jawatan semula. Kebiasaannya orang akan memohon bercuti sehingga kes nya selesai. Apatah lagi ini adalah pertama kali dalam sejarah seorang ahli politik dikenakan kes yang paling banyak, meskipun kes asas hanya 2 sahaja iaitu kes Yayasan nya dan kes Pemprosesan visa.

Zahid Hamidi

Mungkin ramai yang simpati dengan Zahid atas tindakan keterlaluan dan tuduhan terpilih ( selective prosecution) yang dikenakan oleh regim PH terhadapnya. Kalangan Ketua-ketua Bahagian dan Pengerusi Perhubungan Negeri nampaknya mengalu-alukan beliau kembali memegang jawatan kerana ia adalah hak sah beliau sebagai Presiden UMNO yang dipilih oleh perwakilan.

Namun ahli-ahli biasa dan netizen di alam siber melepaskan rasa marah dan tidak bersetuju dengan tindakan Zahid kembali memegang jawatan. Ini kerana Zahid bertindak mengambil cuti 6 bulan yang lalu adalah atas desakan ahli UMNO dan simpatisan parti yang melihat beliau lambat melaksanakan agenda perubahan parti. Ditambah lagi dengan kes yang dikenakan terhadapnya.

Tun Hamid bekas Ketua Hakim Negara yang sangat dihormati pandangannya juga berterus terang meminta Zahid tidak meneruskan hasrat. Malah beliau meminta MT UMNO mendesak Zahid supaya berhenti.

Sejak Muhammad Hassan melaksanakan tugas memangku kerja Presiden UMNO, telah mulai dilihat perkembangan positif dan penerimaan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO. Tiga pilihanraya kecil menyaksikan sentimen rakyat yang memberikan keyakinan baru terhadap UMNO/BN bersama PAS, sehingga kawasan Semenyih yang dianggap Azmin sebagai suatu yang mustahil PH dapat dikalahkan, akhirnya tersungkur juga.

Asasnya ialah rakyat melihat UMNO mulai merangka ke arah perubahan. Kerjasama dengan PAS adalah kemuncak kepada harapan baru orang Melayu untuk melihat politik kaum majoriti dapat menguasai politik negara.

Malah rakyat begitu senang dengan langkah Dato Seri Najib yang mengambil peranan pembangkang yang sangat aktif tanpa melekatkan dirinya kepada UMNO. Malah beliau tidak memikirkan untuk kembali memegang jawatan Presiden.

Langkah ini membawa beliau benar-benar fokus. Sehingga fenomena BossKu menyebabkan Kit Siang tidak dapat tidur malam. Dan tindakan melawan PH yang dibuat dengan mengeluarkan hujah dan fakta menyebabkan PH terkedu untuk menjawab.

Tetapi sekarang Zahid sudah membuat keputusannya. Samada keputusan ini atas kesedaran demi kepentingan parti atau kepentingan diri tidak dapat dijawab dengan pasti. Yang pasti ialah keresahan di bawah dan kegembiraan di atas.

Pilihan yang ada kepada Zahid ialah pertama, Zahid perlu melakukan perubahan dirinya sendiri untuk muncul menjadi pemimpin yang karismatik. Antaranya bagaimana Zahid akan menjadi tarikan kepada rakyat yang akan mengundi Pakatan UMNO/BN —PAS dalam pilihanraya yang akan datang.

Kedua, sejauhmanakah keberanian Zahid untuk berhadapan dengan regim PH yang dianggap zalim ini dengan membina dalam imaginasi rakyat bahawa beliau adalah mangsa pembalasan dendam yang keterlaluan oleh PH. Dalam hal ini berjayakah Zahid menarik simpati rakyat terhadapnya?

Ketiga, sejauhmanakah kemampuan Zahid untuk muncul sebagai pemimpin yang tidak mementingkan dirinya, tetapi mengutamakan parti UMNO. Malah apakah beliau sanggup untuk membina barisan baru yang lebih berwibawa tanpa mempunyai palitan isu dan skandal.

Keempat, mampukah Zahid membina semula imej dirinya dalam persekitaran politik yang memerlukan kemampuan intelektual, kehebatan berhujah dengan memikirkan terlebih dahulu apa yang hendak diucapkan dan kemahiran berbahasa. Barangkali Zahid memiliki satu kelebihan sudut kehidupan yang berfikrah dan mengamalkan Islam. Tetapi ia belum mampu menjadikan Zahid sebagai memiliki kelebihan kerana dalam PAS sekarang dianggap memiliki kelebihan nilai Islami.

Kelima, apakah persediaan Zahid andai kata UMNO diharamkan oleh regim PH nanti? Apakah akan berlaku selerak sekali lagi dan akhirnya akan membawa parti UMNO ini tertimbus ( meminjam kata Tun Hamid).

Apa yang sedang diamati sekarang ialah apakah ada jalur lain yang sedang diusahakan oleh Zahid dalam memastikan kesinambungan UMNO. Itupun bergantung kepada sejauhmanakah strategiknya pemikiran dan perancangan Zahid. Sebelum ini pelbagai perkara perancangan yang disebut oleh Zahid, tetapi tiada penghujung.

Dengan isu dalaman PH yang semakin meruncing, pertembungan kem Anwar dan Tun M yang mencemaskan, isu Azmin yang menjejaskan reputasi PH, mungkinkah kemunculan Zahid untuk memimpin semula UMNO ada kaitan dengan “power struggle” baru dalam PH.

Apapun jangan dibiarkan UMNO akhirnya menjadi Parti Kongres India yang berusaha berkali-kali untuk muncul semula di pentas politik nasional tetapi terus tenggelam dalam pilihanraya 2019 terbaru. Ketika itu tertimbuslah sebuah parti kebangsaan Melayu yang banyak berjasa.

Moga Zahid akan menjadi seagresif DS Najib yang setiap hari melawan PH di medan siber. Melawan dan menyerang dengan fakta. Sehingga akhirnya imej negatif yang ada padanya akhirnya akan bertukar positif.

Di saat ini,sebagai rakyat yang sedang resah melihat politik negara, saya hanya sekadar mampu berdoa agar Allah jauhkan bala dan musibah ke atas parti yang berjasa ini.

Moga parti ini tidak akan lagi bergantung kepada pemusatan individu “presiden” tetapi ke atas tanggungjawab semua ahli MKT dan ahli-ahli UMNO bangun bergerak sebagai sebuah pasukan secara jama’ie dan menghalakan terjahan dan serangan mereka kepada regim PH.