KUALA TERENGGANU 24 Mac – Seorang kerabat Diraja Perak, Raja Halimahton Shahrin Almarhum Sultan Idris meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas menyertai aktiviti menyelam di Pulau Perhentian, Besut petang ini.

Almarhumah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 5.15 petang tadi sejurus tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Raja Halimahton, 62, merupakan kekanda kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Iskandar.

Difahamkan, sebelum itu, Almarhumah dikatakan turun menyelam di kedalaman 19 meter di kawasan Teluk Dalam Pasir Hantu, Pulau Perhentian dalam kumpulan lapan penyelam kira-kira pukul 4.12 petang.

Kira-kira lebih enam minit kemudian tangki yang dipakai mangsa dikatakan mengeluarkan buih manakala mangsa kelihatan lemah sebelum diberi bantuan segera oleh rakan penyelam lain.

Ketika dibawa naik ke permukaan dan dalam keadaan lemah, Almarhumah masih lagi mampu memberi reaksi positif dengan menunjukkan tanda bagus kepada rakan penyelam.

Namun keadaan mangsa didapati semakin lemah sehingga memaksa rakan lain serta pegawai perubatan berusaha keras memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi ketika dihubungi malam ini mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut menambah, kejadian itu masih dalam siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

————————–

“As Salam YTM/YM/YABhg/YBhg/YDH/Tuan/Puan,

PEMBERITAHUAN KEMANGKATAN YAM RAJA HALIMAHTON SHARIN BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS A’FIFULLAH SHAH (KU MAH) Dengan sedihnya dimaklumkan YAM RAJA HALIMAHTON SHARIN BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS A’FIFULLAH SHAH telah kembali ke rahmatullah pada hari ini Sabtu 23 MAC 2019. YAM Berusia 62 Tahun.

Jenazah meninggal dunia di Pulau Perhentian, Kuala Terengganu. Jenazah akan di makamkan pada esok hari 24 MAC 2019 di Tanah Perkuburan Makam DiRaja Kuala Kangsar. Butiran selanjutnya akan dimaklumkan kelak.

Alfatihah.