IPOH – Polis Perak hari ini telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 44 tahun dalam serbuan berasingan di dua buah kedai runcit sekitar Ipoh susulan kes kematian dua individu kerana keracunan minuman.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan pertama di Bercham, selain menahan individu berusia 35 tahun terbabit, pihaknya juga turut merampas 24 botol minuman keras jenama “Kingfisher Premium” dan 18 tin minuman keras jenama”Kingfisher Extra Strong.

Manakala dalam serbuan kedua di Chemor, penjaga kedai runcit berusia 44 tahun itu ditahan dan 25 tin air minuman keras jenama sama turut dirampas.

“Pada 20 September jam lebih kurang 1.30 tengah hari, Polis Perak telah menerima satu laporan polis daripada Pegawai Kesihatan Daerah Kinta berkaitan kes keracunan minuman keras.

“Individu-individu itu ditahan untuk membantu kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini dua lelaki telah meninggal dunia, dua lagi sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi dan seorang lelaki lagi sedang menerima rawatan di wad perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dipercaya selepas minum minuman keras jenama terbabit.

Katanya lagi, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan berwaspada serta sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan keracunan minuman keras hendaklah menyalurkan maklumat kepada balai polis yang berdekatan” ujarnya.