IPOH: Dapur Kolej Vokasional Kuala Kangsar diarahkan tutup ekoran kejadian keracunan makanan pada Ahad.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kejadian keracunan makanan di kolej itu adalah terkawal.

Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah kawalan, dapur asrama kolej tersebut telah ditutup di bawah
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dengan arahan untuk pembersihan.

“Pemantauan terhadap status kesihatan pelatih-pelatih kolej berkenaan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pada Ahad, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah menerima laporan mengenai satu kejadian keracunan makanan yang melibatkan pelatih-pelatih tersebut.

Katanya, siasatan segera telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar sebaik sahaja menerima notifikasi daripada Hospital Kuala Kangsar pada hari kejadian.

Beliau memberitahu, kejadian itu melibatkan seramai 86 orang pelatih daripada keseluruhan 562 orang yang terdedah.

“Pelatih-pelatih yang terlibat berumur di antara 16-19 tahun, mengalami gejala seperti sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam.

“Enam pelatih telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka adalah stabil, manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” ujarnya.

Katanya, punca keracunan makanan masih dalam siasatan dan sampel telah diambil untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Ipoh.