TAIPING – Kerajaan negeri Perak menunggu laporan penuh Jabatan Kesihatan Negeri dan pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berhubung kejadian kes keracunan makanan kedua membabitkan sekolah itu dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, hasil lawatan ke wad Hospital Taiping petang tadi, pihaknya dimaklumkan terdapat tiga pelajar MRSM Taiping yang menerima rawatan di hospital itu sejak jam 12 tengahari tadi.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, dua daripadanya dibenarkan pulang ke sekolah setelah sejam menerima rawatan, manakala seorang lagi pelajar masih dirawat di wad pemerhatian.

“Saya difahamkan terdapat lebih 20 pelajar MRSM Taiping yang mengalami simptom keracunan makanan sejak awal pagi tadi setelah dipercayai bersarapan di dewan makan sekolah terbabit.

“Sebahagian daripadanya dihantar ke klinik kesihatan berhampiran bagi menjalani rawatan pesakit luar dan hanya tiga daripadanya dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya selepas mengadakan lawatan ziarah seorang pelajar MRSM Taiping yang mengalami keracunan makanan dan diberikan rawatan di Hospital Taiping di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihak hospital turut memaklumkan kesemua pelajar terbabit diberi rawatan memasukkan air ke dalam tubuh mereka untuk memulihkan keadaan fizikal.

Menurutnya, pihaknya turut difahamkan purata pelajar yang terbabit kes keracunan makanan berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun.

“Pihak kami masih lagi belum dimaklumkan mengenai punca sebenar kes keracunan makanan berlaku dan adakah pengusaha dewan makan asrama yang sama turut terlibat.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada kesemua pihak terlibat mengenai punca sebenar kejadian itu berulang tidak sampai sebulan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah meletakkan standard kebersihan penyediaan makanan yang perlu dipatuhi pengurusan setiap sekolah.

“Jadi terpulang kepada pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memgambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian kes keracunan makanan di MRSM Taiping tidak lagi berulang berikutan pentadbiran MRSM bukan bidang kuasa kerajaan negeri

“Bagi saya, semua pengurusan sekolah perlu menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan penyediaan makanan kepada para pelajar, tidak kira sama ada sekolah berasrama atau sekolah harian,”katanya – sinar