KLANG: Sebahagian besar daripada 76 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini yang mengalami keracunan makanan sejak 28 Februari lalu sudah dibenarkan pulang.

Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Min, berkata kakitangan terbabit mulai pulih selepas dua hari menerima rawatan.

“Masih ada beberapa kakitangan yang belum dibenarkan pulang kerana masih memerlukan rawatan, namun saya percaya mereka akan dibenarkan pulang dengan segera.

“Berkenaan pembedahan elektif yang terpaksa ditunda ekoran kekurangan kakitangan Jabatan Anestesiologi juga akan dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Khamis lalu, 76 kakitangan jabatan berkenaan dimasukkan ke hospital kerana mengalami simptom keracunan makanan iaitu muntah dan cirit-birit.

Siasatan awal mendapati punca keracunan makanan akibat makanan ditempah dengan katerer dari luar hospital selepas mesyuarat mingguan jabatan pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Lay Min berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan terperinci berkenaan insiden terbabit – berita harian