IPOH: Dua lelaki rakyat tempatan maut manakala tiga lagi masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman beralkohol jenis ‘King Fisher Beer’ dan ‘Grand Royal Whisky’.

Lima kes berkenaan menjadikan Perak negeri ketiga dikesan berlaku kes sama selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor dengan jumlah kes keracunan metanol setakat hari ini yang dilaporkan adalah seramai 23 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata Jabatan Kesihatan Perak menerima lima kes keracunan alkohol itu semalam membabitkan dua kematian manakala tiga lagi mangsa masih dirawat di HRPB.

Katanya, kematian pertama membabitkan lelaki berusia 50 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu pada Isnin lalu manakala seorang lagi mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia sehari kemudian di sebuah hospital swasta.

“Bagi kes tiga yang masih dirawat pula, dua daripada mangsa berkenaan masing-masing berusia 41 dan 53 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB.

“Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang dirawat di hospital sama dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di HRPB di sini hari ini.

Sivanesan berkata, semua mangsa dikesan mengalami beberapa gejala termasuk kabur penglihatan, kekejangan kaki, loya dan muntah selepas dipercayai meminum minuman beralkohol jenis ‘King Fisher Beer’ dan ‘Grand Royal Whisky’ yang disyaki dibeli di premis di sekitar kawasan Bercham di sini.

“Kita jangkakan kes akibat keracunan alkohol di negeri ini akan meningkat dan orang ramai diminta tampil untuk mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami gejala yang disebutkan tadi.

“Siasatan mengenai kejadian itu masih diteruskan dan kerajaan negeri akan meminta bantuan agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti premis yang menjual minuman alkohol tiruan,” katanya – berita harian