IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa kecewa dan marah kerana berlaku kes keracunan metanol yang telah mengorbankan tiga orang setakat ini.

Menurut beliau, kejadian seumpama itu sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.

Sehubungan itu, beliau mahu, tindakan sewajarnya diambil segera bagi menangani kes-kes seumpama itu.

“Saya akan memantau secara lebih dekat perkara ini dan saya akan berbincang dengan pihak-pihak berkuasa dalam menangani kes sebegini,” katanya kepada pemberita sebelum menyaksikan Tayangan Amal Filem PASKAL anjuran Persatuan Veteran Persatuan Khas Laut (PASKAL) di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima PASKAL, Laksama Pertama Anuar Alias dan 

Pengerusi Persatuan  Veteran Paskal TLDM, Datuk Nasaruddin Othman.

Ahmad Faizal berharap pemilik premis atau penjual alkohol memastikan produk jualan mereka adalah yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

“Mereka juga mestilah memikirkan soal keselamatan pengguna, setiap kali membuat penjualan.

“Saya fikir perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan orang ramai pula, saya harap memikirkan tentang keselamatan diri.

“Jika apa-apa berlaku pada diri kita, apa pula nasib keluarga kita yang tinggal, jadi jangan ambil mudah mengenai perkara ini,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan rakyat Perak, khususnya anak-anak muda supaya menjauhi penggunaan alkohol dan juga dadah.

Dalam kejadian minggu lalu, dua maut, dua kritikal dan seorang dirawat di wad biasa selepas disyaki minum arak tiruan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Perak memberitahu, satu kes baru telah direkodkan di Hospital Taiping.