IPOH: Semua penjawat awam tertakluk kepada soal kerahsiaan, bukan hanya di bawah kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN), malah juga kerajaan negeri lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mana-mana pihak sekalipun tidak boleh membenarkan ada kalangan tertentu yang cuba mengambil kesempatan mengeluarkan atau menjual maklumat-maklumat penting daripada kerajaan.

Menurut beliau, mana-mana kerajaan sekalipun tidak mahu ada pihak yang menjual sesuatu perkara ataupun berkongsi menyebarkannya, bagi tujuan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kerajaan ataupun terhadap sesebuah organisasi di bawah sesebuah kerajaan.

“Perkara ini saya bangkitkan sebagai mengingatkan kita semua, samalah yang telah saya bangkit sebelum ini berkaitan dengan ada kalangan tertentu yang mungkin turun ke bawah menceritakan bahawa mereka melakukan sesuatu dengan mendapat restu.

“Ataupun mereka berkongsi tentang pelan-pelan tertentu untuk mendapatkan habuan-habuan ataupun menggunakannya untuk mengelirukan orang ramai bagi tujuan kepentingan peribadi, samada untuk kewangan ataupun dalam bentuk yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, perkara-perkara itu perlu diperingatkan dari semasa ke semasa, termasuk di dalam Perutusan Tahun Baru 2018 semalam.