PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengambil pendekatan selektif untuk memastikan setiap individu yang memperoleh kontrak benar-benar berjaya.

Katanya, apa yang berlaku sebelum ini adalah peluang diberi secara bebas tanpa memikirkan keupayaan seseorang itu.

“Sekarang kita akan lebih selektif untuk mengatasi tabiat menjual kontrak dan peluang lain yang diberi kepada mereka.

“Kami mahu memastikan mereka yang mendapat kontrak melaksanakannya. Sekiranya mereka tidak (melaksanakannya), kami akan mengambilnya semula,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta di Forum Pemimpin Dunia di Columbia University, New York pada Rabu.

Mahathir, yang berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74.

Malah menurut beliau, satu perkara yang perlu diterima adalah sesuatu perlu dilakukan.

“Jika anda tidak melaksanakan tindakan pengukuhan, apakah yang anda mahu lakukan? Jika anda tidak melakukan apa-apa, ketaksamaan akan bertambah teruk dan akan wujud ketegangan antara kaum dan antara golongan kaya dan miskin,” kata beliau.

Katanya, beliau pernah mencuba memberi kepada mereka yang boleh berjaya, bermakna bantuan diberi kepada mereka yang telah berjaya.

“Tetapi apabila saya bantu mereka, saya dituduh kronisme. Rupanya, jika anda tidak mahu dituduh kronisme anda mesti memastikan semua orang gagal.

“Kerana banyak orang yang gagal, mereka tidak dituduh sebagai kroni saya. Tetapi mereka yang berjaya semua digelar kroni saya. Jadi bagaimana anda mahu membetulkan perkara itu – jika anda berjaya anda salah, dan jika anda gagal anda betul,” katanya.

Dalam respons itu, Dr Mahathir berkata tidak benar mengatakan pelaksanaan dasar tindakan pengukuhan atau affirmative action tidak membantu orang Melayu yang masih jauh di belakang masyarakat Cina di Malaysia.

“Ramai yang telah dibantu dan banyak yang berjaya,” kata beliau.

Mahathir juga berkata, langkah-langkah telah diambil untuk membetulkan ketidakseimbangan dalam profesion perubatan, contohnya dengan kehadiran lebih ramai doktor Melayu sekarang.

“Dalam profesion lain juga kami telah membuat beberapa pembetulan, ia tidak memuaskan tetapi sekurang-kurangnya kami telah membuat pembetulan. Dan kini terdapat orang Melayu yang agak baik dalam perniagaan,” katanya.

“Saya bercakap dengan seorang lelaki malam tadi. Beliau boleh menerbangkan helikopter dan memiliki banyak helikopter bukan hanya di Malaysia tetapi seluruh dunia. Beliau diberi peluang dan dia memanfaatkan peluang itu.

-FMT