KUALA LUMPUR : Kerajaan berkata Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) akan dipinda susulan bantahan terhadap penggunaan undang-undang itu bagi menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP minggu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata Sosma sudah dibincangkan dalam Kabinet dan pendekatan yang diambil adalah dengan mengubah sebahagian daripadanya.

“Jadi pendekatan ialah Sosma sedikit sebanyak ada pindaan kepada seksyen-seksyen tertentu terutama mengenai tahanan yang 28 hari itu dan akses kepada peguam.

“Jadi ini masih dalam proses Kementerian Dalam Negeri dan saya harap mereka telah pun selesai proses ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Liew berkata pindaan Sosma akan dibentangkan di Dewan Rakyat secepat mungkin dan berharap dapat dibuat pada Disember ini.

“Jika tak sempat akan dibentangkan dan dibahas pada sidang akan datang.

“Nanti ahli-ahli Parlimen boleh bincang dan bahas dalam dewan,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata KDN sedang membincangkan mengenai Sosma dan buat masa ini dalam proses kaji semula.

Katanya, selagi tidak ada keputusan mansuh Sosma, akta itu masih ada.

“Kita tengah lihat sekarang ini dan kita cuba terbaik untuk mempercepatkan.

“Untuk kita, lagi cepat lagi baik. Tetapi kalau kita kelam kabut dan nak menyedapkan hati sesetengah pihak, nanti akhirnya, bila kita sudah lakukan dan kita terpaksa patah balik,” katanya.

Azis juga menjangkakan pindaan Sosma tidak akan dibentangkan pada sidang kali ini dan berkata berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak ada mengatakan perlu dihapuskan.

“Manisfesto tidak sebut hapus kan? Dia cuma sebut kaji semula, mana-mana akta bersifat drakonian akan dilihat balik.