IPOH 15 Dis. – Kerajaan memberi jaminan akan mengatasi masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran dalam masa terdekat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tindakan sewajarnya diambil oleh kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui sebuah jawatankuasa yang turut berperanan menangani masalah kenaikan harga.

“Semasa mesyuarat Kabinet, saya telah menyatakan perkara itu kepada pihak Kementerian Industri Asas Tani dan saya yakin mereka telah mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan dan kenaikan harga telur ayam tempatan di pasaran yang menyebabkan kebimbangan orang ramai ketika ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlaku kenaikan harga telur ayam di pasaran antaranya akibat penyakit selesema burung yang melanda industri ayam dalam negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku gangguan dalam pengeluaran telur ayam selain kajian yang dibuat mendapati berlaku lebihan eksport telur ayam ke luar negara.

“Oleh itu, saya telah memberi arahan kepada pihak kementerian untuk mengadakan perbincangan dengan pihak KPDNHEP kerana ada jawatankuasa bersama yg ditubuhkan sebelum ini untuk menangani masalah kenaikan harga.

“Saya juga diberitahu memang terdapat faktor lebihan eksport telur ayam ke negara jiran, jadi kita telah pulangkan perkara itu kepada jawatankuasa yang dianggotai kedua-dua kementerian untuk mengambil tindakan sewajar,” katanya. – UTUSAN ONLINE