IPOH: Perkampungan kraf sedang giat dibangunkan di Sayong, Kuala Kangsar dalam usaha mempelbagaikan lagi produk pelancongan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkampungan kraf itu sedang dibangunkan oleh Kraftangan Malaysia bersama beberapa agensi secara bersepadu di bawah program “Kraf Kampungku”.

Menurut beliau, projek itu telahpun bermula di Sayong mulai September 2016 dan telahpun dilancarkan secara rasmi oleh menteri berkenaan pada 25 November 2016.

“Kawasan projek ini bermula dari laluan Kg Pauh hinga ke Koperasi Industri Kraf (KIK) Kg Keplada Bendang yang mempunyai ramai pembuat produk seramin atau labu sayong,” katanya ketika menjawab soalan lisan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) di Sidang DUN pada Khamis.

Beliau memberitahu, antara usaha dan insiatif kampung itu termasuklah pengeluaran, pemasaran, pembangunan pakej pelancongan dan lain-lain aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat setempat.

Beliau menambah, bagi kraf tekat dan senjata besi pula, ianya berpaksi di kawasan Kg Padang Changkat, Bukit Chandan juga sedang dibangunkan.

“Pengunjung akan dapat merasai suasana kampung kraf, berpeluang mencuba teknik pembuatan secara interakti dan pusat juala produk yang menarik,” ujarnya.

Katanya, insiatif itu akan memberi pelbagai impak yang positif terhadap sektor pelancongan selain ekonomi negeri.

“Kuala Kangsar memang telah pun terkenal dengan industri kraftanganya yang berasaskan seramik, besi, tekat dan pelbagai lagi, jadi kita cuba berikan mereka kemudahan untuk dikembangkan lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 195 usahawan kraftangan telah berdaftar di Kuala Kangsar dan diharapkan kesemua mereka ini akan menerima manfaat daripada insiatif kerajaan negeri.