KUALA LUMPUR : Kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakan peraturan-peraturan keselamatan bagi penggunaan “kereta terbang”, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata demikian walaupun prototaip bagi kenderaan itu dijadual akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di KL Sentral petang ini, Mahathir secara berseloroh berkata negara ini masih belum bersedia menjadikan kereta terbang bagi kegunaan komersial.

“Pada masa ini belum bersedia (dengan peraturan-peraturan keselamatan).

“Kamu lihat, ramai orang cakap tentang kereta terbang. Bayangkan jika semua orang memiliki sebuah kereta terbang, akan ada kesesakan lalu lintas di atas sana dan anggota polis akan terbang juga, di tengah-tengah lalu lintas. Ia akan ada sedikit masalah.

“Malah di Eropah dan Amerika Syarikat, mereka telah membina kereta (terbang). Tetapi menggunakan kereta itu adalah perkara lain,”katanya ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk mengawalselia kereta terbang.

Awal hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof memberitahu parlimen bahawa kereta terbang buatan tempatan akan diumumkan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Beliau juga berkata Cyberjaya telah dikenal pasti sebagai tempat ujian bagi teknologi inovatif seperti dron autonomi dan mobiliti udara.

Tidak seperti kenyataan Mahathir hari ini, Redzuan mengatakan penggunaan kereta terbang akan direalisasikan dalam tahun depan.

“Saya nak nyatakan di sini kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang selama satu jam mengunakan kenderaan kereta terbang.

“Bukan saya nyatakan benda itu akan terjadi, tetapi telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020,” katanya.

Redzuan berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Rembau (BN), Khairy Jamaluddin mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk mengawal dan menyokong industri kereta terbang.