BAGAN DATOH: Kerajaan akan membina ban-ban yang lebih tinggi di kawasan sekitar lokasi yang dikesan kerap berlakunya kejadian banjir di negeri ini akibat fenomena air pasang besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu kerajaan juga akan menaikkan taraf kunci-kunci air dengan menambah kekuatan kilowatt pada pam-pam air yang sedia ada.

Beliau juga Ahli Parlimen Bagan Datoh meminta penduduk kampung memberi kerjasama dengan memastikan titi atau jambatan sebagai penghubung dibina mengikut spesifikasi yang ditentukan terutama titi yang menggunakan kelubong (culvert) bagi mengelak berlakunya timbunan sampah yang menyekat pengaliran air.

“Kelubong yang dibina perlu mengikut saiz diameter atau keluasan culvert tertentu kerana jika saiznya kecil ia akan memerangkap sampah yang mengalir di kawasan itu.

“Saya juga minta kerjasama orang ramai agar ada kesedaran sivik untuk saling bantu membantu memastikan air dapat mengalir dengan lancar supaya ia tidak melimpah masuk apabila hujan lebat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kampung Simpang Tiga, Rungkup kecil, Bagan Datoh pada Sabtu.

Ditanya mengenai kerugian yang ditanggung penduduk kampung akibat kerosakan tanaman, katanya, beliau meminta pihak jabatan pertanian mengadakan rundingan dengan penduduk bagi membantu masalah yang mereka hadapi.

Mengenai air pasang besar, Zahid berkata, air pasang besar yang berlaku kali ini disebabkan air laut berada diparas yang lebih tinggi daripada daratan manakala di darat pula berlaku kenaikkan air berpunca daripada hujan lebat yang agak luar biasa.

“Jumlah air yang bertakung berlaku apabila berlakunya pertembungan air laut dan air di darat menyebabkan kejadian banjir,” katanya.