IPOH: Kerajaan negeri Perak perlu melaksanakan program-program yang bersifat perniagaan bagi mewujudkan masyarakat yang mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sedang memberi perhatian itu setelah Ipoh dan Perak secara amnya telah mendapat pengiktirafan diperingkat antarabangsa.

“Ipoh atau negeri Perak secara amnya merupakan antara lima kawasan di dunia yang diiktiraf untuk melaksanakan `idea social bussines’, jadi dalam konteks ini, perlu kita laksanakan program yang bersifat perniagaan bagi mewujudkan masyarkat yang mampu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya semasa menjawab soalan Chua Yee Ling (DAP-Kuala Sepetang) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Isnin.

Kepada soalan tambahan daripada wakil yang sama, Dr Zambry menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan khas dalam membangunkan industri Sosial Enterprise bagi membantu golongan usahawan muda.

Menurut beliau, kerajaan telah menyediakan beberapa program menerusi beberapa agensi yang menyediakan ruang dan peluang perniagaan kepada kalangan tertentu seperti golongan muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau mengambil contoh Yayasan Bina Upaya (YBU) yang menggunakan konsep mikro kredit bagi membantu golongan usahawan termasuk golongan muda di negeri ini.

Di samping itu, ujar beliau, sebelum ini K Perak juga pernah mewujudkan konsep inkubator untuk mengenalpasti potensi yang ada di kalangan anak muda bagi mereka mencebur diri dalam bidang berkaitan sosial enterprise.