PETALING JAYA : Kerajaan BJP India menawarkan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang ke atas Dr Zakir Naik sekiranya beliau menyokong tindakan ketenteraan perdana menteri Narendra Modi di Kashmir, dakwa seorang ahli akademik Islam Pakistan-Amerika yang melawat penceramah terkenal itu semalam.

Yasir Qadhi, yang diundang untuk berucap pada satu persidangan yang dirasmikan oleh Anwar Ibrahim pada Rabu berkata, BJP menghantar wakil bertemu Naik dengan membawa tawaran itu.

“Ini menunjukkan tidak ada kes sebenar terhadapnya dan semuanya bertujuan politik. Alhamdulillah, dan jelaslah beliau menolak percubaan untuk merasuahnya. Ilmuan sebenar tidak sesekali akan menjual agamanya (din) untuk dunia,” kata Qadhi di laman Facebook beliau selepas menemui Naik semalam.

Beliau berkata, selain menarik balik pertuduhan di India, Naik juga ditawarkan pemulangan asetnya yang dirampas dan dibenarkan balik ke negara itu.

FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara berasingan, dan kini menghubungi pihak berkuasa India untuk komen.

Naik dikehendaki di India kerana pertuduhan pengubahan wang.

Direktorat Penguatkuasaan India menuduh beliau memiliki kira-kira Rs1.9 bilion (RM114.5 juta) aset jenayah. Ia juga mahu Naik diisytiharkan sebagai pesalah ekonomi yang diburu.

Naik, yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia menafikan dakwaan itu dengan berkata, ia adalah sebahagian daripada percubaan kerajaan BJP untuk menutup mulutnya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk kembali ke India bagi menghadapi pendakwaan di mahkamah negara itu dengan syarat beliau tidak ditangkap sehingga didapati bersalah.

Kerajaan Malaysia sehingga kini menolak permintaan India untuk mengekstradisi naik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Naik tidak akan mendapat perbicaraan adil di bawah pentadbiran Modi.

Mahathir juga mengkritik tindakan kerajaan Modi di Kashmir, selain mempersoal undang-undang kewarganegaraan baru yang mencetuskan bantahan besar-besaran kerana mendiskriminasi orang Islam.

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lepas, Mahathir menuduh India menceroboh Kashmir dan melanggar resolusi PBB, sekali gus menyebabkan kumpulan perniagaan India menggesa dilancarkan boikot ke atas minyak sawit Malaysia.

Ini berikutan langkah Modi memansuhkan autonomi berusia 70 tahun bagi Kashmir, selain mengenakan sekatan ke atas rakyat wilayah itu, termasuk sekatan internet.

Semenjak pemisahan India pada 1947 yang melahirkan Pakistan, 2 negara itu terlibat dalam beberapa pertempuran bersenjata berkait Kashmir, sebuah wilayah pergunungan di utara dengan majoriti penduduknya beragama Islam.