SEBERANG PERAK: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela nasib rakyat, seperti yang telah dilakukan sejak dahulu lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

Menurut beliau, tidak ada kerajaan di dalam dunia ini, yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat, seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Malangnya, kata beliau, disebabkan fitnah yang dilemparkan di dalam media-media sosial, ada pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan yang ada sekarang teruk sangat.

“Saya sedih kerana di dalam media sosial, digambarkan seolah-olah tidak ada langsung jasa baik kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas (RTBK) Seberang Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air merangkap ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

MB_BNbelarakyat 2

Dr Zambry menasihatkan rakyat supaya jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan tohmahan yang dilemparkan pembangkang, termasuk melalui media-media sosial.

“Saya meminta rakyat janganlah buat perkara-perkara yang tidak elok dan kerajaan sentiasa untuk membela rakyat,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan koperasi RTBK itu kepada warga kurang bernasib baik, sekolah, sekolah agama rakyat dan tadika.

Sementara itu, Tajudin menasihatkan generasi muda RTBK jangan sewenang-wenangnya mengambil keputusan untuk menjual tanah mereka, hanya kerana tawaran harga yang tinggi.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus terus menyimpan dan mengusahakannya demi untuk kelansungan anak cucu mereka.

“Tanah yang mereka dapat tidak ternilai harganya dan kita perlu fikir soal kelansungan bangsa supaya kita tidak merempat di bumi sendiri atau jadi seperti hidup segan mati tak mahu,” kata Tajudin.